KUALA LUMPUR: Harga minyak mungkin kekal tinggi untuk tempoh yang lebih lama, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour.
Menurut Berita Harian, dalam satu temu bual bersama CNBC, beliau berkata harga minyak berkemungkinan kekal tinggi lebih lama walaupun konflik berakhir dalam tempoh beberapa minggu akan datang.
“Pengukuhan ringgit juga akan memberi sedikit kesan dalam mengurangkan pemindahan kenaikan harga, tetapi kami memantau perkara ini dengan sangat teliti,” katanya.
Walaupun susut daripada paras tertinggi, harga minyak masih kekal jauh lebih tinggi berikutan gencatan senjata yang tidak menentu antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran.
Harga Brent, penanda aras global bagi niaga hadapan minyak mentah, kini didagangkan pada paras AS$98.50 setong, iaitu hampir 32 peratus lebih tinggi berbanding akhir tahun lalu.








