Seorang pegawai tentera disyaki mabuk bertindak memandu secara melawan arus sebelum merempuh sebuah kenderaan lain, mengakibatkan seorang lelaki warga Bangladesh maut dalam kemalangan di Kilometer 1.9 Lebuhraya Maju Expressway (MEX) awal pagi Khamis.
Menurut Sinar Harian Kejadian kira-kira jam 5.38 pagi itu melibatkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza yang digunakan sebagai e-hailing dan sebuah kereta jenis Ford Fiesta.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, siasatan awal mendapati Ford Fiesta dipandu lelaki tempatan berusia 31 tahun dipercayai memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung secara berhadapan dengan MPV berkenaan.
Menurutnya, MPV itu dipandu lelaki tempatan berusia 41 tahun yang ketika kejadian sedang bergerak lurus di lorong kiri.
“MPV e-hailing tersebut membawa dua penumpang warga Bangladesh iaitu lelaki berusia 22 tahun dan wanita berusia 20 tahun yang baru tiba dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
“Akibat pelanggaran itu, penumpang lelaki berusia 22 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.








