Wanita dikenali ‘Jorjet Myla’ yang ditahan polis selepas mengkritik Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam satu video di TikTok, dikatakan masih dalam keadaan trauma dan belum bersedia untuk ditemu bual.
Perkara itu dimaklumkan suaminya, Ifaiznor Ismail, 35, ketika ditemui Malaysiakini di Kuantan, Pahang, malam tadi.
“Tak banyak yang dia kongsi dengan saya mengenai apa yang berlaku sepanjang ditahan reman.
“Cuma dia ada cakap tak lalu makan (hilang selera), kita pun fahamlah makanan dalam lokap itu macam mana,” katanya.
Wanita berusia 38 tahun itu ditahan pagi Isnin lalu dan dilaporkan disiasat di bawah Akta Hasutan 1948 susulan kenyataannya terhadap Anwar.








