Seorang pegawai penyiasat kes pengubahan wang haram memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa anggaran kasar bagi 12,009 unit barang kemas yang disita dari kediaman mewah Pavilion Residences pada 2018, mencecah RM443.3 juta.
Menurut Malaysia Gazette, Asisten Komisioner Foo Wei Min, 51, berkata, penilaian itu dibuat oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Bukit Aman dengan bantuan pakar barang kemas.
Beliau yang ketika itu pegawai penyiasat kes pengubahan wang haram berkaitan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berkata, penilaian tersebut dilakukan di antara 30 Mei 2018 hingga 25 Jun 2018.
Katanya, polis kemudian merampas harta-harta alih antaranya 35 beg mengandungi wang tunai pelbagai dominasi, enam beg mengandungi jam tangan pelbagai jenama serta 25 beg berisi pelbagai barang kemas.
Turut disita ialah tiga beg mengandungi cermin mata pelbagai jenis dan jenama, sebuah beg berisi dompet pelbagai saiz dan jenama serta 284 kotak mengandungi beg tangan pelbagai jenama.








