Bekas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin menyifatkan adalah terlalu awal untuk membincangkan soal kerusi yang bakal ditandinginya dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Menurut Bernama beliau berkata, fokus utamanya ketika ini adalah terhadap proses permohonannya untuk kembali menyertai Umno, justeru perbincangan mengenai lokasi bertanding belum sesuai dilakukan.
“Saya rasa terlalu awal untuk kita bincang soal nak bertanding di mana (kerana) saya baru dalam proses untuk kembali, jadi perkara itu belum sesuai dibincangkan,” katanya.
Khairy berkata demikian selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bertam, Reezal Merican Naina Merican, di Kepala Batas.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa soal penentuan calon dan agihan kerusi adalah di bawah bidang kuasa kepimpinan parti, khususnya Pengerusi Barisan Nasional (BN) merangkap Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi.








