Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi, berkata Malaysia kini berada dalam mod kesiapsiagaan krisis berikutan ketidaktentuan global yang menjejaskan harga bahan api.
Menurut Malaysia Kini,beliau berkata situasi semasa berpunca daripada krisis global dan memerlukan kerjasama semua pihak untuk menanganinya secara bersama.
“Kita jangan berasa selesa dan jangan hanya menuding jari kepada pihak kerajaan terutama kepada Perdana Menteri. Hakikatnya ialah kerana krisis global yang harus kita sama-sama hadapi,” katanya kepada pemberita selepas majlis perhimpunan bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), di sini hari ini.
Mengenai tindakan pembangkan terus memainkan isu kenaikan harga bahan api sebagai modal politik, Presiden UMNO itu berkata perkara berkenaan adalah tidak wajar memandangkan situasi semasa adalah kesan langsung daripada perkembangan geopolitik antarabangsa.
“Cubalah mereka (pembangkang) pergi ke Selat Hormuz sekarang atau cubalah mereka pergi ke negara Asia Barat, (biar) mereka lihat sendiri.
“Kita bernasib baik sebenarnya…jadi jangan asyik menggunakan masalah global ini sebagai satu kesalahan pihak kerajaan. Ini hakikat yang harus kita terima,” katanya.








