Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran memberi amaran bahawa universiti yang mempunyai kaitan dengan Amerika Syarikat (AS) dan Israel di rantau Asia Barat kini dianggap sebagai “sasaran sah” susulan serangan ke atas kemudahan pendidikan negara itu.
Menurut laporan Anadolu Ajansi yang memetik agensi berita separa rasmi Iran, Fars, IRGC menuduh Washington dan Tel Aviv berulang kali mengebom institusi akademik Iran, termasuk Universiti Sains dan Teknologi Iran di Tehran.
Dalam kenyataan itu, IRGC menegaskan bahawa semua universiti yang mempunyai kaitan dengan entiti Israel serta AS di Asia Barat akan dianggap sebagai sasaran sah sebagai tindak balas terhadap kemusnahan institusi akademik Iran.
IRGC turut menggesa kakitangan, pelajar serta penduduk yang tinggal berhampiran universiti terbabit supaya menjauhkan diri sekurang-kurangnya satu kilometer dari kawasan berkenaan demi keselamatan.
Pada Rabu lalu, IRGC juga menuntut supaya Washington mengecam serangan terhadap universiti di Iran atau berdepan tindakan balas.
Media Iran melaporkan beberapa serangan dilancarkan oleh AS dan Israel ke atas kemudahan pendidikan, termasuk Universiti Teknologi Isfahan dan Universiti Sains dan Teknologi Iran di Tehran.
Sejak 28 Februari, AS dan Israel dilaporkan terus melancarkan serangan udara ke atas Iran yang mengorbankan lebih 1,340 orang, termasuk pemimpin tertinggi negara itu, Ayatollah Ali Khamenei.
Sebagai tindak balas, Iran melancarkan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel, Jordan, Iraq serta negara-negara Teluk yang menempatkan aset ketenteraan AS, mengakibatkan korban jiwa dan kerosakan infrastruktur serta menjejaskan pasaran global dan penerbangan.
— Bernama / Anadolu








