Larangan pihak berkuasa Israel terhadap pelaksanaan solat sunat Aidilfitri di kawasan Masjid Al-Aqsa atas alasan keselamatan susulan serangan ke atas Iran menambah tekanan terhadap umat Islam Palestin yang sudah berdepan sekatan berterusan sepanjang Ramadan.
Dalam perkembangan berkaitan, rakyat Palestine menyeru umat Islam berkumpul berhampiran kota lama di Baitul Muqaddis Timur bagi menunaikan solat Aidilfitri sedekat mungkin dengan Al-Aqsa sebagai simbol penutup Ramadan.
Sebelum ini, polis Israel dilaporkan menggunakan kekerasan bagi menyuraikan jemaah yang menunaikan solat di luar tembok Al-Aqsa sebagai bantahan terhadap sekatan yang dikenakan sepanjang bulan suci itu.
Larangan berkumpul turut memberi kesan kepada aktiviti ekonomi setempat apabila peniaga Palestin tidak dibenarkan membuka kedai menjelang Aidilfitri, menyebabkan suasana di kota lama berubah menjadi sepi seperti bandar hantu, berbeza dengan kebiasaannya yang dipenuhi pengunjung.
Situasi itu menjadikan Aidilfitri di Baitul Muqaddis Timur antara yang paling suram, dengan ramai rakyat Palestin kehilangan akses untuk beribadah di Al-Aqsa, masjid suci ketiga bagi umat Islam selepas Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.








