Konsep “Rumah Bangsa” yang diperkenalkan Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi bukan hanya dikhususkan kepada individu tertentu, sebaliknya terbuka kepada semua pihak yang ingin bersama parti itu, kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Zambry Abdul Kadir.
Menurutnya, idea yang diketengahkan oleh Zahid itu merupakan gagasan besar yang baik dan selari dengan prinsip perjuangan parti.
“…ia satu prinsip yang sangat baik kerana prinsip dalam parti khususnya dalam UMNO dan Barisan Nasional ini untuk misi perpaduan, misi kedamaian, misi keamanan dan kestabilan,” katanya.
Beliau berkata konsep tersebut juga berakar daripada sejarah penubuhan UMNO pada 1946 yang menghimpunkan lebih 100 pertubuhan Melayu untuk bersatu menentang cadangan Malayan Union.
“Ia rangka besar parti UMNO, Barisan Nasional dan semua komponen serta yang lain-lain, iaitu untuk kita mengekalkan keamanan dalam semua Rumah Bangsa yang besar ini,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program penyerahan Bantuan Wang Ihsan (BWI) Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) kepada mangsa banjir kilat di daerah Manjung.- Bernama








