Seorang bekas pembantu Rafizi Ramli, James Chai meluahkan rasa kecewa selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengeluarkan notis yang memintanya membantu siasatan berkaitan dakwaan melibatkan pemimpin tersebut.
Chai berkata beliau akan mengeluarkan kenyataan lanjut mengenai perkara itu dalam masa terdekat.
“Saya agak bosan apabila sumber negara digunakan dengan cara ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Chai kini sedang cuba dikesan oleh SPRM yang menjalankan siasatan berkaitan dakwaan bahawa Rafizi mempercepatkan perjanjian kerajaan bernilai RM1.1 bilion dengan gergasi semikonduktor Britain, Arm Holdings.
Terdahulu hari ini, SPRM mengeluarkan kenyataan memaklumkan pihaknya sedang berusaha menghubungi Chai bagi membantu siasatan tersebut.
Chai adalah seorang daripada beberapa yang dilantik Rafizi untuk membantunya di Kementerian Ekonomi. Selain itu,juga merupakan graduan Universiti Oxford dalam bidang undang-undang dan teknologi, selain turut dikenali sebagai seorang penulis.-Malaysia Kini








