KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) membidas pihak yang memanipulasi istilah “melalak” digunakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, sambil menegaskan ia tidak wajar diputar sebagai serangan terhadap mana-mana pihak.
Dalam kenyataan hari ini, Ketua AMK, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata istilah itu merujuk kepada segelintir pihak yang tergesa-gesa menuduh kerajaan gagal bertindak dalam isu penghinaan terhadap al-Quran, sedangkan siasatan dan penguatkuasaan sedang berjalan mengikut undang-undang.
“Kenyataan Perdana Menteri adalah peringatan terhadap budaya tuduhan melulu yang boleh mengeruhkan keadaan,” katanya.
Menurut AMK, individu terlibat telah ditahan dan siasatan dijalankan secara menyeluruh, sekali gus membuktikan kerajaan tidak berdiam diri.
Sayap pemuda PKR itu turut mengingatkan bahawa isu sensitiviti agama tidak boleh ditangani melalui tekanan emosi atau retorik politik yang mengapi-apikan sentimen.
AMK menyeru semua pihak menghentikan manipulasi isu demi kepentingan politik sempit dan memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan tugas tanpa campur tangan.








