MELAKA: Barisan Nasional (BN) dilihat memasuki gelanggang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dengan tahap keyakinan jentera yang tinggi, didorong momentum daripada pencapaian pilihan raya di Johor dan Negeri Sembilan.
Berdasarkan pemerhatian Ilham Centre, momentum itu dipercayai membentuk persepsi dalam kalangan penyokong bahawa BN berada pada kedudukan kukuh untuk mempertahankan penguasaannya di Melaka.
Strategi kempen yang lebih tersusun dan agresif turut dilihat memberikan kelebihan psikologi kepada jentera serta penyokong gabungan berkenaan.
Pada masa sama, naratif kerjasama BN-PN yang bersandarkan politik identiti dengan slogan “Asal Bukan PH” dilihat mudah difahami dan mendapat perhatian khususnya dalam kalangan pengundi Melayu, selain digunakan secara meluas merentasi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Pemerhatian di lapangan turut mendapati kebanyakan Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang ditandingi BN menunjukkan aktiviti kempen yang rancak dengan penyertaan penduduk setempat.
Sebaliknya, Pakatan Harapan (PH) dan beberapa parti pesaing dilihat memulakan gerak kerja lebih lewat, dengan sebahagian kempen masih tertumpu kepada usaha memperkenalkan calon.
PH sebelum ini banyak bergantung kepada isu rasuah, kesenjangan ekonomi dan tadbir urus sebagai antara naratif utama untuk mencabar kerajaan.
Bagaimanapun, isu berkenaan dilihat belum berjaya digabungkan menjadi satu naratif induk yang cukup kuat untuk mencetuskan gelombang penolakan terhadap BN.
Keadaan itu menyebabkan kempen PH dilihat lebih bergerak mengikut calon dan kawasan, berbanding satu mesej politik seragam yang mampu mendominasi keseluruhan kempen.
Dalam suasana BN-PN dilihat menguasai momentum dan persepsi kemenangan, cabaran utama PH adalah untuk membina naratif yang lebih jelas serta meyakinkan pengundi mengenai alasan untuk melakukan perubahan.








