Seramai 13 Ahli Parlimen daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) membuat ketetapan kolektif untuk terus menyokong Datuk Seri Hamzah Zainudin, yang telah dipecat daripada parti itu, kekal sebagai Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat.
Ketua Whip Bersatu, Datuk Ronald Kiandee, dalam satu surat rasmi kepada Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, memaklumkan bahawa keputusan tersebut dibuat secara majoriti selaras dengan Peraturan Mesyuarat 4A.
Surat itu menyatakan bahawa 13 ahli parlimen berkenaan secara kolektif dan majoriti menyokong dan mengekalkan Ahli Parlimen Larut itu sebagai Ketua Pembangkang, dengan senarai nama ahli parlimen disertakan sebagai pengesahan rasmi pendirian mereka.
Keputusan itu dicapai selepas Takiyuddin sebelum ini mengesahkan bahawa kedudukan Hamzah sebagai Ketua Pembangkang kekal setakat ini, dan tempat duduk ahli parlimen Bersatu yang dipecat daripada parti juga tidak berubah dalam susunan Dewan Rakyat.
Ronald menegaskan bahawa ahli parlimen tersebut akan terus memberi tumpuan kepada tugas mereka dalam menyuarakan kepentingan rakyat serta melaksanakan fungsi semak dan imbang di Parlimen dengan penuh tanggungjawab.
Sebelum ini, PAS dilaporkan berhasrat untuk mencalonkan pemimpin partinya sebagai calon Ketua Pembangkang baru susulan pemecatan Hamzah daripada Bersatu. -Malaysia Kini








