Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengecam serangan ketenteraan Amerika Syarikat (AS) dan Israel ke atas Iran yang menurutnya melanggar undang-undang antarabangsa serta mengancam keamanan di Asia Barat.
Dalam satu kenyataan di media sosial, Muhyiddin menyifatkan tindakan itu sebagai perbuatan berbahaya yang boleh menggugat sebarang usaha diplomatik pada masa depan di rantau tersebut.
Beliau berkata penglibatan tentera AS bersama serangan itu meningkatkan lagi risiko tercetusnya perang yang lebih meluas.
“Saya menggesa agar semua pertempuran dihentikan serta-merta. Kedua-dua pihak, Amerika Syarikat dan Iran, mesti memilih untuk meneruskan diplomasi dan dialog,” katanya.
Muhyiddin turut menyatakan kebimbangan terhadap keselamatan rakyat Malaysia yang berada di kawasan terjejas.
Menurutnya, melindungi warganegara Malaysia serta memastikan keselamatan dan kebajikan mereka akan menjadi keutamaan.
Beliau juga menegaskan kerajaan Malaysia bersama rakan serantau dan antarabangsa perlu terus berusaha mencari kaedah berkesan untuk meredakan ketegangan, mempromosikan keamanan serta melindungi orang awam yang terperangkap dalam konflik tersebut.








