Persatuan Teoh Beng Hock Untuk Kemajuan Demokrasi hari ini menyeru orang ramai menyertai demonstrasi aman esok di luar ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya bagi membantah kepimpinan Ketua Pesuruhjaya Azam Baki, sebagai tindak balas terhadap dakwaan salah laku agensi itu terhadap rakyat biasa dan ahli perniagaan.
Dalam kenyataan, pengerusi persatuan Koong Hui Yein mengingatkan kematian Teoh Beng Hock — bekas pembantu politik DAP yang meninggal dunia dalam siasatan SPRM — serta kematian penolong pengarah Kastam Selangor Ahmad Sarbaini Mohamed, sebagai latar belakang kebimbangan berterusan terhadap operasi suruhanjaya itu.
Koong berkata kini golongan ahli perniagaan turut menjadi sasaran SPRM, merujuk kepada dakwaan bahawa agensi antirasuah itu disalahgunakan dan berkolusi dengan tokoh perniagaan tertentu untuk menyingkirkan pesaing serta merancang pengambilalihan korporat. Beliau mendakwa SPRM beroperasi melebihi kuasa undang-undang dan tanpa akauntabiliti yang jelas.
“Cukup-cukuplah. Rakyat Malaysia mesti bersatu untuk berkata ‘tidak’ kepada SPRM yang beroperasi mengatasi undang-undang tanpa akauntabiliti,” tegas Koong,
Menurut beliau, mesej demonstrasi juga termasuk mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya memastikan pelanggar undang-undang berdepan tindakan perundangan, serta reformasi SPRM tidak ditangguhkan lagi.
“Kami menuntut penamatan penyeksaan terhadap rakyat Malaysia yang tidak bersalah dan mematuhi undang-undang atas alasan siasatan,” tambah Koong.
Walaupun SPRM telah menafikan dakwaan “mafia korporat” dan menegaskan ia menjadi sasaran kempen memburukkan reputasi, pelbagai pihak termasuk DAP sebelum ini mendesak penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat perkara tersebut. Kerajaan turut menubuhkan pasukan petugas berasingan diketuai Peguam Negara Dusuki Mokhtar untuk menyiasat pegangan saham Azam.
Demonstrasi berkenaan dijangka diadakan esok, dengan persatuan itu berharap ia akan menyampaikan mesej tegas kepada kerajaan dan SPRM mengenai kebimbangan rakyat terhadap tanggungjawab serta akauntabiliti agensi antirasuah itu. Malaysia Kini







