Pengarah Perundangan dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin mendakwa Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar mungkin mahu dia “berubah angin” susulan pertukarannya ke jawatan baharu di Jabatan Peguam Negara (AGC).
Wan Shaharuddin, yang sebelum ini mengetuai Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM, menjelaskan pertukaran itu bukanlah satu penurunan pangkat tetapi sekadar perubahan tugas biasa dalam perkhidmatan awam. Beliau berkata demikian ketika ditemu bual dalam program Zoom In di Maccfm pagi ini.
“SPRM di hati saya, tetapi lumrah kita akan bertukar-tukar. Saya berada di sini hampir tujuh tahun, mungkin AG nak suruh saya tukar angin,” kata beliau, sambil menambah niat pertukaran itu adalah “baik dan murni” serta bukannya ditujukan kepadanya sahaja.
Pertukaran mengejut itu mencetuskan kontroversi, terutamanya apabila Parti Pejuang Tanah Air mendesak penjelasan daripada Peguam Negara, mempersoalkan rasional di sebalik tindakan tersebut ketika integriti SPRM dan ketua pesuruhjaya agensi itu sedang menjadi perhatian.
Semalam, Mohd Dusuki Mokhtar menegaskan pertukaran Wan Shaharuddin, yang akan berkuat kuasa 2 Mac, tidak akan menjejaskan kes-kes berkepentingan yang dikendalikan beliau di SPRM. Beliau berkata bekas pengarah itu masih boleh meneruskan tanggungjawab menangani kes berprofil tinggi dan turut berpeluang mengendalikan kes rayuan di peringkat mahkamah yang lebih tinggi.
Wan Shaharuddin, yang mula berkhidmat di SPRM pada 2019, terkenal dengan penglibatannya dalam beberapa kes rasuah berprofil tinggi termasuk dakwaan penyelewengan dana Pemuda Bersatu, kes terowong dasar laut Pulau Pinang, dan kes pengubahan wang haram melibatkan seorang bekas perdana menteri. -Malaysia Kini








