theme-sticky-logo-alt
February 26, 2026
222 Views

“Hamzah Masih Ketua Pembangkang,”- Takiyuddin Hassan

PARLIMEN: Perikatan Nasional (PN) menggesa kerajaan menarik semula dua rang undang-undang (RUU) utama yang dijadual dibentangkan untuk bacaan kali kedua minggu depan, dengan alasan cadangan tersebut tidak memadai dari sudut reformasi serta berpotensi bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, RUU Perlembagaan (Pindaan) No. 2 2026 berkaitan pemisahan kuasa Peguam... Read More

PARLIMEN: Perikatan Nasional (PN) menggesa kerajaan menarik semula dua rang undang-undang (RUU) utama yang dijadual dibentangkan untuk bacaan kali kedua minggu depan, dengan alasan cadangan tersebut tidak memadai dari sudut reformasi serta berpotensi bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, RUU Perlembagaan (Pindaan) No. 2 2026 berkaitan pemisahan kuasa Peguam Negara (AG) dan Pendakwa Raya tidak membawa perubahan substantif seperti yang diharapkan.

“Ia sekadar ‘copy and paste’. Kuasa mutlak itu hanya dipindahkan daripada Peguam Negara kepada Pendakwa Raya tanpa mekanisme semak dan imbang atau akauntabiliti yang jelas,” katanya dalam sidang media di Parlimen hari ini.

Beliau berkata, PN berpandangan Pendakwa Raya sepatutnya tertakluk kepada mekanisme semakan kehakiman (judicial review) dan bertanggungjawab kepada Parlimen, berbeza dengan kedudukan semasa yang dianggap tidak boleh dicabar di mahkamah.

Had tempoh PM dikhuatiri jejaskan prerogatif Agong

Mengulas RUU mengehadkan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri kepada agregat 10 tahun, Takiyuddin berkata cadangan itu boleh dianggap menyentuh kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong untuk melantik Perdana Menteri.

Katanya, Perkara 43(2)(a) memperuntukkan bahawa Agong melantik seorang Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mendapat kepercayaan majoriti, tanpa menetapkan had tempoh.

“Jika dihadkan kepada 10 tahun, ia boleh ditafsirkan sebagai menyekat kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Beliau turut berhujah bahawa pindaan tersebut memerlukan persetujuan Majlis Raja-Raja di bawah Perkara 159(5), kerana melibatkan kedudukan dan kuasa Raja-Raja.

Kebimbangan kemasukan murid enam tahun

Dalam sidang media sama, wakil PN turut membangkitkan kebimbangan ibu bapa berhubung pelaksanaan dasar kemasukan murid berusia enam tahun ke Tahun Satu.

“Kita mahu penjelasan telus, berapa sekolah sudah bersedia, berapa guru mencukupi. Jika belum bersedia, tangguhkan sekurang-kurangnya dua tahun,” kata mereka.

PN mendakwa pelaksanaan secara tergesa-gesa boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan ibu bapa dan memberi tekanan kepada sekolah.

Kedudukan Ketua Pembangkang kekal

Mengulas spekulasi berhubung kedudukan Ketua Pembangkang, Takiyuddin berkata setakat ini tiada notifikasi rasmi diterima dan tiada perubahan kerusi akan dibuat dalam baki persidangan.

“Setakat ini Hamzah masih Ketua Pembangkang. Kita juga tidak menerima apa-apa notifikasi rasmi mengenai perubahan,” katanya kepada media.

Takiyuddin berkata, memandangkan persidangan Dewan Rakyat hanya berbaki dua hari lagi, tiada sebarang perubahan kerusi atau rombakan kepimpinan akan dibuat dalam masa terdekat.

“Kita hanya ada dua hari lagi sidang. Kita tidak fikir akan ada sebarang perubahan buat masa ini. Masa terlalu singkat,” katanya.

15 49.0138 8.38624 both 1 bullet 1 4000 1 0 horizontal https://newmalaysianpost.com.my 50 0 1