IPOH – Kerajaan Perak mengumumkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak RM1,500 kepada 11,261 penjawat awam negeri sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad, berkata bantuan khas itu turut melibatkan barisan Exco Kerajaan Negeri, Ex-Officio, semua guru lantikan negeri, Orang Besar Jajahan, pegawai lantikan kontrak serta kakitangan di bawah Program Malaysia Short-term Employment Programme (MySTEP).
Menurutnya, insentif yang akan dibayar pada 16 Mac depan itu membabitkan implikasi kewangan berjumlah RM16.89 juta.
“Pembayaran BKK Hari Raya Aidilfitri 2026 turut akan dipanjangkan kepada semua guru Guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) serta Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Tradisional pada kadar rata RM500 seorang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Menteri Besar Perak bersama penjawat awam negeri di Laman Seri Ridzuan, di sini, pada Isnin.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim serta Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Seri Mohammad Zahir Abdul Khalid.
Saarani berkata, pemberian bonus sempena Aidilfitri itu adalah hasil usaha pegawai dan kakitangan kerajaan negeri yang berjaya menambah baik serta mengukuhkan kedudukan kewangan negeri. -Malaysia Gazette Perak








