Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, mengesahkan bahawa beliau akan mencadangkan kepada Kabinet pada Jumaat ini supaya kerajaan menubuhkan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan kewujudan “mafia korporat” yang disifatkan sebagai sebagai jauh lebih serius berbanding kontroversi isu pemilikan saham.
Menurut Loke, cadangan tersebut akan dibentangkan pada mesyuarat Kabinet selepas isu itu dibincangkan secara awal dalam mesyuarat Kabinet pada 13 Februari lepas. Beliau berkata langkah tersebut wajar diambil bagi memastikan dakwaan yang telah tular dan menimbulkan kebimbangan awam dapat disiasat secara telus, menyeluruh dan bebas.
“Saya menyatakan (dalam mesyuarat Kabinet) bahawa kerajaan perlu mempertimbangkan penubuhan RCI dan kami telah mengemukakan cadangan ini dalam mesyuarat Kabinet lalu dan akan terus mendesaknya. Ini pendirian DAP,” kata Anthony Loke dalam satu kenyataan.
Dakwaan mengenai kewujudan mafia korporat itu menjadi isu hangat dalam perbincangan politik dan media, terutama berkaitan persepsi campur tangan pihak berkepentingan dalam urusan perniagaan dan hubungan mereka dengan agensi kerajaan. Isu ini juga telah mencetuskan perdebatan dalam kalangan ahli politik dan pemerhati mengenai ketelusan serta integriti pentadbiran. -Malaysia Kini








