MASJID TANAH – Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Masjid Tanah hari ini mengumumkan pembubaran rasmi jawatankuasa bahagiannya selepas kepimpinan utama serta ahli jawatankuasa bertindak meletakkan jawatan secara beramai-ramai.
Keputusan itu dibuat dalam satu mesyuarat khas yang berlangsung kira-kira dua jam, dihadiri ahli jawatankuasa bahagian, ketua-ketua sayap dan ketua-ketua cawangan.
Dalam pertemuan tersebut, Ketua Bahagian Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin memaklumkan peletakan jawatannya sebagai Ketua Bersatu Bahagian Masjid Tanah. Tindakan itu kemudian diikuti oleh ketua-ketua sayap, ahli jawatankuasa bahagian serta ketua-ketua cawangan yang hadir.
“Dengan peletakan jawatan ini, dimaklumkan bahawa Jawatankuasa Bersatu Bahagian Masjid Tanah adalah dengan ini terbubar secara rasmi,” menurut kenyataan itu.
Menurut satu kenyataan, mesyuarat khas berkenaan turut merekodkan pendirian sebulat suara bahawa tindakan tersebut dibuat susulan hilang kepercayaan terhadap Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin.








