BEIJING – Lapan orang maut dan dua lagi cedera ringan selepas berlaku satu letupan kuat di sebuah kedai menjual mercun di wilayah Jiangsu, timur China, pada Ahad.
Insiden itu berlaku sekitar 2.30 petang, dicetuskan oleh tindakan “pelepasan mercun yang tidak betul” oleh seorang atau beberapa penduduk kampung berhampiran premis, yang menyebabkan bahan mercun di kedai tersebut meletup secara besar-besaran.
Selepas letupan, pasukan pengurusan kecemasan tempatan bersama bomba, polis dan perkhidmatan kesihatan segera ke lokasi bagi menjalankan operasi menyelamat dan memadam kebakaran. Api yang tercetus berjaya dikawal dan dipadamkan sekitar 4 petang.
Pihak berkuasa telah menahan beberapa individu bagi membantu siasatan lanjut, termasuk menyiasat punca sebenar kejadian dan sama ada prosedur keselamatan telah dipatuhi.
Letupan itu berlaku ketika China memasuki tempoh puncak penggunaan mercun berikutan sambutan Tahun Baharu Cina, tradisi yang lazimnya menyaksikan penggunaan bunga api dan mercun secara meluas di seluruh negara. Astro Awani








