Ketua Pemuda Umno Malaysia mengakui wujud persepsi bahawa beberapa tokoh DAP kini dilihat lebih sederhana dan mudah didekati masyarakat Melayu, namun menegaskan pendekatannya dalam isu-isu politik lebih bersifat mempertahankan pendirian berbanding menyerang pihak lain.
Datuk Dr Akmal Salleh berkata beliau boleh bersetuju dengan pandangan yang dibangkitkan bekas menteri Khairy Jamaluddin berhubung gambaran “wajah baharu” DAP, khususnya merujuk kepada beberapa pemimpin parti itu yang dilihat lebih moderat.
“Saya boleh setuju dengan KJ… tak semua apa yang DAP cakap tu saya ‘against’. Ada benda yang saya setuju juga,” katanya dalam podcast Keluar Sekejap sebagai menjawab soalan Khairy.
Menurut Akmal, beliau menganggap dirinya sebagai pemimpin yang terbuka untuk berbincang serta tidak bertindak berasaskan emosi semata-mata.
“Saya ni orang yang boleh dibawa bincang dan saya ni orang yang logik… saya tak bercakap berdasarkan emosi,” katanya lagi.
Akmal turut menegaskan bahawa pendekatannya dalam beberapa isu utama sebelum ini lebih kepada mempertahankan kedudukan, bukannya memulakan serangan terhadap mana-mana pihak.
Beliau menyenaraikan beberapa isu seperti bendera, stoking, UEC dan Kampung Baru sebagai contoh di mana menurutnya beliau hanya “defend” dan tidak memulakan polemik.
Mengulas lanjut, Akmal berkata wujud suara akar umbi yang menurutnya tidak selalu mendapat perhatian di peringkat kepimpinan atasan, sekali gus menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan penyokong.
“Banyak di bawah ni sebenarnya, inilah suara mereka. Mereka nak bercakap tapi tak ada pemimpin yang ‘echo’ suara mereka di atas,” katanya.
Dalam masa sama, beliau mengakui pandangan bahawa terdapat pemimpin DAP yang dilihat lebih sederhana, namun menegaskan kepimpinan parti tetap bertanggungjawab mengawal ahli bawahan.
“Sebagai ketua, ‘this you control’ yang bawah. Kalau tak boleh kawal, maksudnya tak boleh berfungsi sebagai ketua yang baik,” katanya.







