KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, meluahkan kekecewaan dan mempersoalkan penjelasan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, berhubung pegangan saham beliau yang mencetuskan kontroversi baru-baru ini.
Dalam satu rakaman video yang dimuat naik di media sosial, Rafizi berkata penjelasan Azam bahawa pembelian sahamnya itu tidak melibatkan modal berbayar menunjukkan ketidakfahaman terhadap asas saham sesuatu yang dirasakan mengejutkan memandangkan Azam mengetuai agensi penyiasat kes rasuah dan kewangan.
“Mungkin lebih baik Tan Sri Azam Baki bercuti dahulu untuk pergi balik ke kelas dan memahami mengenai saham,” kata Rafizi
Rafizi menegaskan semua saham sama ada dibeli di pasaran terbuka Bursa Malaysia atau tidak merupakan sebahagian daripada modal berbayar, dan persoalan itu perlu difahami sepenuhnya oleh ketua agensi antirasuah negara itu.
Beliau turut menekankan had pegangan saham yang dikenakan kepada penjawat awam adalah jelas, dan pembelian saham yang besar menimbulkan kebimbangan mengenai pertindihan kepentingan (conflict of interest) di kalangan pegawai kanan kerajaan.
Dalam pada itu, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengesahkan sedang menyemak semula peraturan berkaitan pemilikan saham dan kerja sampingan penjawat awam termasuk had nilai pegangan saham yang telah berkuat kuasa sejak sekian lama. -MalaysiaKini








