KUALA LUMPUR– Barisan Nasional (BN) digesa memperkukuh strategi politiknya dengan pendekatan digital dan tactik yang lebih moden untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16), menurut Pengerusi BN dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Dalam ucaptama beliau pada Forum Better Nation ke-9 bertajuk Model Baharu Barisan Nasional: Antara Tradisi Politik & Tuntutan Perubahan, Ahmad Zahid berkata gabungan itu tidak lagi boleh bergantung semata-mata pada kaedah konvensional seperti ceramah dan pertemuan fizikal sahaja. Beliau menekankan bahawa strategi digital adalah penting untuk mendekati lebih 2.5 juta pengundi baru, khususnya pengundi muda yang kini berumur 18 tahun ke atas.
“Strateginya harus berubah… kaedah baharu secara digital wajib dilakukan kerana mustahil untuk kita mendekati seluruh pengundi baharu ini secara komunikasi bersemuka,” katanya di Auditorium Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur malam tadi.
Beliau turut mencadangkan agar BN tidak terlalu defensif dalam komunikasi politik dan perlu menilai semula prestasi gabungan tersebut selepas hanya memenangi 30 kerusi Parlimen pada PRU-15, sambil memahami faktor demografi dan persaingan pelbagai penjuru yang mempengaruhi keputusan tersebut.
Forum itu turut menampilkan komen pakar dari Dr Bridget Welsh dari Universiti Nottingham Malaysia dan Dr Lee Hwok Aun dari ISEAS-Institut Yusof Ishak serta dikendalikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir. – Bernama








