KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa kumpulan politik Melayu-Islam yang menyokong atau mempertahankan DAP berisiko “pupus” sekiranya gagal menarik sokongan pengundi Melayu kepada parti itu.
Dalam Kenyataan terbaharunya, Abdul Hadi mendakwa terdapat parti atau kelompok yang menggunakan pendekatan Islam progresif, liberal dan pluralisme untuk menarik pengundi Melayu-Islam sebelum sokongan tersebut diterjemahkan kepada kekuatan politik DAP.
“Percayalah bahawa kumpulan ini akan pupus apabila dipinggirkan oleh DAP apabila gagal menggoda Melayu Islam,” katanya.
Beliau turut membandingkan kelompok berkenaan dengan Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP), yang menjadi platform penyertaan bukan Islam dalam PAS, tetapi mendakwa wujud pula kelompok Melayu-Islam yang bertindak sebagai jurucakap dan pembela DAP.
Abdul Hadi menegaskan PAS mempunyai perbezaan asas dengan parti lain kerana Perlembagaan parti meletakkan al-Quran, Sunnah, ijmak ulama dan qias sebagai rujukan tertinggi.
Perlembagaan PAS turut memperuntukkan penubuhan Majlis Syura Ulamak untuk mentafsir dasar parti dan memastikan kegiatan serta pentadbirannya tidak bercanggah dengan prinsip berkenaan.
Dalam tulisannya, Abdul Hadi turut mengkritik konsep “Malaysian Malaysia” dan pendekatan sekular yang dikaitkannya dengan DAP.
Perlembagaan DAP sememangnya menyatakan matlamat memperkukuh Perlembagaan Malaysia dalam “rangka kerja sekular asal”, selain memperjuangkan sosial demokrasi, kebebasan beragama serta hak yang saksama kepada rakyat.
Bagaimanapun, DAP menyatakan konsep “Malaysian Malaysia” bertujuan membina identiti kebangsaan bersama dalam masyarakat berbilang kaum dan bukan bermaksud menolak kedudukan Bahasa Melayu, Islam atau peruntukan Perlembagaan berkaitan hak Bumiputera.
Kenyataan Abdul Hadi itu hadir ketika perbezaan ideologi antara PAS dan DAP kembali menjadi perhatian susulan perbincangan mengenai jajaran politik menjelang PRU16.
Sumber: HarakahDaily,Perlembagaan PAS,Perlembagaan DAP,Free Malaysia Today.








