KUALA LUMPUR: Bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua membidas janji Barisan Nasional (BN) untuk mengembalikan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sekiranya gabungan itu kembali menerajui Putrajaya pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Menerusi hantaran di Facebook, Pua mempersoalkan kemampuan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menguruskan GST dengan lebih baik sambil mengungkit masalah bayaran balik, kos dan inflasi ketika cukai itu dilaksanakan di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Razak.
“Remember how Najib messed up refunds, costs and inflation?” tulisnya, sambil mendakwa rakyat biasa akhirnya akan menanggung beban.
Kritikan itu hadir selepas Ahmad Zahid berikrar BN akan mengembalikan GST dengan segera sekiranya kembali menguasai kerajaan Persekutuan.
“Kalau kita ke Putrajaya semula, kita terus kembalikan GST semula dalam sistem ekonomi negara,” katanya ketika Perhimpunan Agung MCA pada Ahad. Zahid berhujah GST lebih adil dan berfokus berbanding SST serta digunakan di lebih 170 negara.
GST pada kadar enam peratus diperkenalkan pada April 2015 sebelum dimansuhkan selepas pertukaran kerajaan pada 2018.
Berhubung isu bayaran balik, laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada 2019 mendapati tiada wang hasil GST yang hilang. Namun, hasil yang tidak dipindahkan ke Kumpulan Wang Bayaran Balik GST telah digunakan bagi perbelanjaan kerajaan, menyebabkan kekurangan dana dan kelewatan bayaran. PAC turut merekodkan RM1.5 bilion bayaran balik yang telah diluluskan tetapi belum dibayar setakat 31 Mei 2018.
Kerajaan semasa pula mengekalkan SST. Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata GST belum sesuai diperkenalkan semula selagi tahap pendapatan rakyat masih rendah dan tekanan kos sara hidup berterusan.
Sumber: Facebook Tony Pua,PAC Parlimen,Bernama,Malaysiakini,Sinar Harian.








