SHENZHEN: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata proses menyahklasifikasikan dokumen Lembaga Pengampunan bukan sesuatu yang luar biasa apabila kandungan atau proses berkaitan dibawa untuk cabaran di mahkamah.
Menurutnya, dokumen asal Lembaga Pengampunan sememangnya dikategorikan sebagai rahsia, namun status tersebut boleh berubah apabila diperlukan dalam prosiding undang-undang.
“Dokumen asal itu memang rahsia tetapi selalunya kalau dibawa ke mahkamah, dinyah (klasifikasi). Itu dalam kes saya dulu pun macam itu,” katanya selepas menghadiri Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC 2026 di Shenzhen, China.
Anwar berkata perkara sama pernah berlaku dalam kesnya sendiri apabila beliau mencabar proses Lembaga Pengampunan, bukan keputusan lembaga tersebut.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan kenyataannya dibuat berdasarkan prinsip umum dan pengesahan terperinci mengenai status dokumen berkaitan Najib perlu dirujuk kepada pihak yang mengendalikan proses tersebut. Sekiranya masih terdapat persoalan, perkara itu boleh dibawa ke Jemaah Menteri.
Kenyataan Anwar dibuat selepas beberapa halaman minit Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan pada 18 September tersebar kepada umum.
Dokumen itu merekodkan antara lain pandangan Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh yang tidak bersetuju dengan pengampunan bersyarat berbentuk tahanan rumah kepada Datuk Seri Najib Razak.
Perkembangan tersebut turut berkait dengan tindakan undang-undang Badan Peguam yang memfailkan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan membenarkan Najib menjalani baki hukuman kes SRC International menerusi tahanan rumah.
Najib mula menjalani tahanan rumah pada 10 November selepas Mahkamah Tinggi membenarkan baki hukumannya dilaksanakan di kediamannya sehingga 23 Ogos 2028.
Sumber: Astro AWANI,Bernama,RTM








