HANG TUAH JAYA: Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menegaskan pendirian parti itu terhadap Datuk Seri Najib Razak tidak bermaksud DAP memusuhi institusi diraja atau tidak menghormati Yang di-Pertuan Agong.
Sebaliknya, beliau berkata, pendirian DAP adalah berhubung perjuangan menentang rasuah dan salah guna kuasa, bukannya ditujukan terhadap Raja-Raja Melayu seperti didakwa sesetengah pihak.
Menurut Malaysia Gazette, DAP kekal menjunjung Perlembagaan Persekutuan dan prinsip Rukun Negara, termasuk memberikan taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong serta menghormati institusi Raja-Raja Melayu.
“Saya nak tegaskan, ini bukan soal tidak hormat kepada Yang di-Pertuan Agong. Kita hormat kepada kuasa Yang di-Pertuan Agong.
“Tetapi ini adalah pendirian terhadap Najib, bukannya berkenaan dengan Agong. Berkenaan dengan Najib,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Grand Finale Pakatan Harapan (PH) di Hang Tuah Jaya, malam tadi.
Penjelasan itu dibuat susulan dakwaan beberapa pemimpin UMNO yang mengaitkan pendirian DAP berhubung isu Najib dengan tindakan tidak menghormati institusi diraja.








