AYER KEROH: Pakatan Harapan (PH) mencabar Barisan Nasional (BN) mengemukakan bukti bertulis bagi menyokong dakwaan bahawa 97 peratus daripada 103 inisiatif manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 2021 telah dilaksanakan.
Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari berkata, angka berkenaan perlu diperincikan supaya rakyat dapat menilai sendiri tahap pelaksanaan setiap janji yang dibuat sepanjang penggal pentadbiran kerajaan negeri.
Menurut AWANI, sepanjang tempoh kempen, PH berulang kali meminta penjelasan bertulis berhubung status setiap inisiatif, termasuk perkembangan 55 projek yang dilaporkan masih belum bermula setakat Jun 2025.
“Tanpa bukti yang boleh disemak, angka 97 peratus itu tinggal slogan kempen untuk meraih populariti,” katanya pada sidang media terakhir PH menjelang hari pengundian di Bilik Gerakan Utama PH, di sini, hari ini.
Adly turut mempersoalkan janji mewujudkan 50,000 peluang pekerjaan dalam manifesto terdahulu yang didakwanya tidak ditunaikan, sebelum sasaran berkenaan dikurangkan kepada 25,000.
Beliau turut membangkitkan janji menyediakan ambulans di setiap Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) dalam tempoh setahun yang menurutnya masih belum dilaksanakan.
“Bagaimana BN boleh mendakwa 97 peratus daripada 103 inisiatif manifesto itu telah pun dilaksanakan?
“Kita boleh mengeluarkan kenyataan ini tetapi kebertanggungjawaban kita harus ada kerana akhirnya apa pun angka yang kita sebut, rakyat sebenarnya memerlukan semua perkhidmatan yang telah kita janjikan,” katanya.








