KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan pendiriannya menolak pelaksanaan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bukan didorong kepentingan politik, sebaliknya mengambil kira kemungkinan kesannya terhadap rakyat.
Menurut Malaysia Gazette, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan tidak mempunyai alasan untuk menolak sistem percukaian berkenaan sekiranya pelaksanaannya benar-benar memberi manfaat kepada ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat.
“Saya berkeras tidak mahu GST. Bukan soal politik, apa nak politiknya kalau ia menguntungkan ekonomi negara dan menguntungkan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ronald Kiandee (PN-Beluran) pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu, Ronald mempersoalkan sama ada keputusan kerajaan untuk tidak memperkenalkan semula GST dibuat atas pertimbangan politik.
Mengulas lanjut, Anwar menjelaskan kebimbangan utama kerajaan adalah memastikan sebarang pelaksanaan sistem percukaian tidak memberikan kesan negatif yang lebih besar kepada rakyat.
Sehubungan itu, beliau mencabar Ronald supaya memberikan jaminan bahawa pelaksanaan GST, seperti yang diamalkan di negara lain, tidak akan membebankan rakyat.
“Saya bimbang satu, boleh tak Beluran jamin dalam sistem GST diperkenalkan di semua negara di dunia bahawa kesan kepada rakyat itu tidak lebih negatif.
“Sebab itu saya menolak rancangan memperkenalkan GST sekarang,” Katanya.








