KUALA LUMPUR: Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan, menyifatkan peletakan jawatan Anthony Loke Siew Fook sebagai Menteri Pengangkutan sebagai satu kehilangan besar kepada Kabinet, selain mengakui sedih dengan keputusan rakan sejawatnya itu.
Menurut NST,Ramanan berkata, Loke merupakan seorang pemimpin yang berpegang teguh pada prinsip dan pendiriannya, justeru keputusan untuk melepaskan jawatan perlu dihormati.
“Saya sedih. Beliau sahabat baik dan rakan saya dalam Kabinet. Saya akan merinduinya.
“Namun, ini keputusan dan pendirian beliau. Beliau seorang yang sangat berprinsip. Kita perlu menerimanya. Ini satu kehilangan besar,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada majlis Anugerah Media Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) 2026, malam tadi.
Mengulas kemungkinan rombakan Kabinet susulan peletakan jawatan Loke, Ramanan berkata, sebarang keputusan berhubung perkara itu terletak di bawah pertimbangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Terdahulu, Loke yang juga Setiausaha Agung DAP mengumumkan peletakan jawatannya berkuat kuasa serta-merta pada Selasa susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menjalani baki hukuman penjara dalam kes SRC International secara tahanan rumah.
Sementara itu, DAP sebelum ini berpandangan masih terlalu awal untuk membincangkan calon pengganti Loke bagi menerajui Kementerian Pengangkutan.








