MELAKA – Faktor usia tidak seharusnya dijadikan ukuran dalam menentukan kelayakan seseorang untuk menjadi calon pilihan raya, sebaliknya kemampuan memperjuangkan aspirasi rakyat perlu diberikan keutamaan.
Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelebang, Farzana Hayani Mohd Nasir berkata, prestasi seseorang calon perlu dinilai berdasarkan khidmat yang mampu diberikan kepada masyarakat serta keupayaan menyelesaikan permasalahan penduduk setempat.
Beliau yang mesra disapa Nana berkata, usia muda sepatutnya menjadi dorongan untuk bekerja lebih keras dan agresif dalam melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat.
“Kalau kita lihat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berumur 80 tahun pun sangat bertenaga, jadi kita yang baru 26 tahun ini jadikan itu sebagai contoh untuk bekerja dengan lebih kuat dan agresif.
“Usia bagi Nana bukan ukuran semata-mata. Kita kena nilai berdasarkan gerak kerja dan sebagainya,” katanya kepada Bernama.
Mengulas penyertaannya buat kali kedua dalam PRN Melaka, Farzana berkata, beliau kini lebih bersedia berbanding pengalaman pertamanya bertanding di DUN Sungai Rambai pada PRN Melaka ke-15, 2021.
Katanya, tanggungjawab sebagai Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Tangga Batu membolehkannya memberi tumpuan lebih awal terhadap gerak kerja di kawasan berkenaan.
Beliau berkata, sebagai anak jati Bukit Rambai, dirinya turut mengenal pasti beberapa isu setempat, khususnya membabitkan golongan pesawah dan nelayan.
“Pada awalnya saya tidak menyasarkan untuk kembali menjadi calon, namun diberi amanah oleh Pengerusi Pakatan Harapan sekali lagi,” katanya.
Farzana bakal berdepan saingan empat penjuru di DUN Kelebang menentang calon Barisan Nasional (BN), Datuk Lim Ban Hong; calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad dan calon Parti Bersama Malaysia (Bersama), Young Jie Yu.








