KUALA LUMPUR: Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) tidak seharusnya dijadikan budaya politik baharu negara kerana ia boleh memberi gambaran seolah-olah pilihan rakyat tidak dihormati, selain membuka ruang kepada salah guna kuasa demi mendapatkan sokongan.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kerajaan sepatutnya menyediakan peruntukan kepada semua Ahli Parlimen yang dipilih rakyat tanpa mengira sama ada mereka berada di pihak kerajaan atau pembangkang.
Menurutnya, penyediaan peruntukan kepada semua wakil rakyat merupakan tanggungjawab kerajaan terhadap kawasan yang diwakili masing-masing.
Beliau turut berpandangan, tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memastikan semua Ahli Parlimen mendapat layanan adil adalah satu bentuk reformasi yang telah lama diperjuangkan.
“Kita tidak boleh jadikan CSA sebagai satu budaya politik baharu negara. Ia seolah-olah kita tidak iktiraf pilihan rakyat dan menyemarakkan salah guna kuasa demi untuk mendapatkan sokongan.
“Pandangan saya kerajaan kena sediakan peruntukan kepada semua wakil yang telah dipilih oleh rakyat, ia adalah tanggungjawab terhadap kawasan yang diwakili.
“Bagi saya kalau Perdana Menteri bertindak secara adil kepada semua Ahli Parlimen, ia adalah satu bentuk reformasi yang diperjuangkan selama ini,” katanya kepada Sinar Ahad.








