KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara (AGC) digesa menyemak semula laporan polis yang dibuat pada 2015 berhubung dakwaan kekerasan membabitkan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.
Gesaan itu dikemukakan dua peguam, Kamal Hisham Jaafar dan Muhammad Nor Tamrin, yang mewakili dua anggota polis yang mendakwa dikasari Mohd Shuhaily dalam kes berasingan baru-baru ini.
Dalam kenyataan hari ini, mereka mendakwa insiden pada 2015 itu berlaku ketika Mohd Shuhaily berkhidmat sebagai Ketua Polis Daerah Hilir Perak.
Menurut Malaysia Kini, laporan polis berhubung dakwaan serangan itu dibuat pada 19 November 2015, namun tiada tindakan diambil terhadap Mohd Shuhaily berhubung tuduhan berkenaan sehingga kini.
Malah, mereka mendakwa pengadu yang ketika itu bertugas sebagai anggota polis berdepan pelbagai kesukaran dalam perkhidmatan sebelum akhirnya diberhentikan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Pengadu yang merupakan seorang anggota polis pada ketika itu, telah melalui pelbagai cabaran dan kesukaran dalam perkhidmatan selepas laporan polis terhadap Datuk Seri Mohd Shuhaily dibuat sehinggalah akhirnya membawa kepada pemberhentian pengadu daripada perkhidmatan dalam PDRM,” menurut kenyataan itu.
Bekas anggota polis berkenaan kemudian melantik Kamal Hisham dan Muhammad Nor untuk mewakilinya dalam usaha mendapatkan semakan semula kes tersebut.
Kedua-dua peguam berkata perkembangan terbaharu membabitkan pertuduhan terhadap Mohd Shuhaily memberi harapan baharu kepada anak guam mereka untuk mendapatkan keadilan, berlandaskan prinsip kesamarataan di sisi undang-undang.
Mereka turut merujuk tindakan pendakwaan terhadap Mohd Shuhaily dalam kes dakwaan kekerasan terhadap anggota pangkat rendah (APR) sebagai asas kepada harapan berkenaan.
“Pengadu merasakan bahawa beliau masih mempunyai peluang untuk mendapatkan keadilan di bawah pentadbiran kerajaan Malaysia pada masa ini,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, mereka berharap AGC mempertimbangkan semula laporan polis berkenaan bagi memastikan dakwaan yang dibangkitkan dapat dinilai sewajarnya.








