Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan bahawa Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dikembalikan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Beliau berkata, keputusan itu dibuat minggu lalu susulan penamatan penempatan Mohd Shuhaily secara pinjaman di Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS).
Menurut Berita RTM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menentukan penempatan seterusnya bagi pegawai berkenaan dalam pasukan itu.
“Sebab beliau adalah kader polis ke AKPS. Jadi kita kembalikan dia semula kepada pasukan polis,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN), di sini, hari ini.
Sehari sebelum itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail memaklumkan bahawa kedudukan Mohd Shuhaily dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi mendapatkan pandangan perundangan sebelum keputusan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.
Menurut Mohd Khalid, perkara itu turut dibangkitkan kepada Suruhanjaya Pasukan Polis kerana penugasan Mohd Shuhaily di AKPS bagi tempoh dua tahun dibuat dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong.
Beliau menjelaskan, Mohd Shuhaily merupakan pegawai PDRM yang dipinjamkan untuk berkhidmat di agensi berkenaan.
Pada 28 Oktober, Kementerian Dalam Negeri turut memaklumkan bahawa urusan perkhidmatan Mohd Shuhaily sedang dimuktamadkan mengikut peraturan dan tatacara yang berkuat kuasa.
Terdahulu, Mohd Shuhaily mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Sepang pada 21 Oktober atas dua pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 28 September lalu.








