PETALING JAYA: Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Selangor digesa memberi perhatian serius terhadap teguran serta nasihat Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung isu babi di negeri itu, khususnya dalam memastikan kepentingan agama, rakyat dan alam sekitar terus terpelihara.
Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi berkata, pandangan yang dizahirkan baginda wajar diteliti kerana mengambil kira pelbagai aspek, termasuk keterbatasan tanah untuk pembangunan serta risiko pencemaran udara dan sistem saliran.
Menurutnya, pengalaman luas Sultan Sharafuddin dalam pentadbiran dan hal ehwal negeri menjadikan setiap teguran serta pandangan baginda sesuatu yang perlu diberikan pertimbangan sewajarnya oleh pihak kerajaan.
“Saya kira pengalaman 25 tahun menjadi Sultan Selangor dan lebih 30 tahun sebagai Raja Muda, setiap apa yang baginda tegur, nasihat dan pandangan sudah tentu dengan penuh kebijaksanaan.
“Teguran dan nasihat berkenaan isu babi di negeri Selangor, saya kira penuh dengan kebijaksanaan Tuanku dalam keadaan tanah di Selangor yang terhad untuk tujuan pembangunan, pencemaran udara dan sistem saliran.
“Kerajaan harus memberi perhatian yang sewajarnya,” katanya seperti dilaporkan Utusan Malaysia.








