PETALING JAYA: Aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard, dijatuhi hukuman penjara empat bulan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur selepas didapati bersalah atas pertuduhan fitnah jenayah membabitkan kenyataan yang boleh mencemarkan nama baik Yang di-Pertuan Agong.
Peguamnya, Rafique Rashid Ali berkata, Hakim Norma Ismail menjatuhkan hukuman itu selepas memutuskan pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Menurut FMT, keputusan hukuman dibuat selepas mahkamah mendengar hujahan mitigasi daripada kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan.
Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu proses rayuan di Mahkamah Tinggi.
Rafique berkata, mahkamah turut memerintahkan jumlah jaminan Badrul dinaikkan kepada RM5,000.
Pendakwaan kes berkenaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nursyuhada Husna Sulaiman.
Mengikut pertuduhan, Badrul, 47, didakwa pada 29 April 2024 berhubung kesalahan yang didakwa dilakukan pada 22 Januari tahun sama.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Mahkamah Sesyen pada 2025 telah melepas dan membebaskan Badrul daripada pertuduhan berkenaan.
Bagaimanapun, keputusan itu berubah selepas Mahkamah Tinggi pada tahun ini memerintahkan beliau membela diri terhadap pertuduhan tersebut.
Dengan keputusan terbaharu itu, Badrul kekal dibenarkan berada di luar penjara sementara menunggu rayuannya diputuskan, tertakluk kepada syarat jaminan yang ditetapkan mahkamah.







