PUTRAJAYA: Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) mengesahkan pembatalan pendaftaran Perikatan Nasional (PN) selepas mendapati penjelasan yang dikemukakan gabungan politik itu gagal memberikan alasan kukuh untuk mengekalkan status pendaftarannya.
Keputusan berkenaan dibuat mengikut subperenggan 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966 selepas RoS meneliti keseluruhan dokumen serta representasi yang dikemukakan PN pada 12 Oktober lalu.
Menurut RoS, pihaknya sebelum ini mengeluarkan notis bertarikh 22 September 2026 di bawah subseksyen 13(2) akta sama bagi memberi peluang kepada PN menjawab perkara yang dibangkitkan sebelum sebarang keputusan diambil.
Bagaimanapun, hasil penelitian mendapati penjelasan gabungan itu tidak berjaya menyangkal asas pembatalan seperti yang dinyatakan dalam notis berkenaan.
“Setelah meneliti keseluruhan dokumen dan penjelasan yang dikemukakan, Pendaftar Pertubuhan mendapati alasan yang diberikan tidak dapat menyangkal asas pembatalan pendaftaran sebagaimana dinyatakan dalam notis berkenaan.
“Ia juga tidak memberikan justifikasi yang kukuh untuk mengekalkan pendaftaran pertubuhan berkenaan,” menurut RoS.
Berdasarkan notis pembatalan yang dilaporkan Berita Harian, antara alasan keputusan itu ialah pelanggaran Fasal 7.1 Perlembagaan PN apabila Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) didakwa dinafikan hak untuk menghadiri dan mengambil bahagian dalam Mesyuarat Tergempar Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai 2026.
RoS turut menjelaskan bahawa segala alasan yang dikemukakan pemegang jawatan gabungan berkenaan telah dipertimbangkan sebelum keputusan muktamad dibuat.
Namun, pendaftar berpendapat alasan tersebut tidak memuaskan, sekali gus mengarahkan pendaftaran PN dibatalkan berkuat kuasa mulai tarikh perintah pembatalan dikeluarkan.








