PADANG TERAP: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mempersoalkan dakwaan yang mengaitkan dirinya atau kerajaan negeri dengan kes pecah amanah membabitkan RM40 juta berkaitan projek Litar Lumba Antarabangsa Sungai Petani.
Beliau berkata, mana-mana pihak tidak seharusnya membuat tuduhan tanpa mengetahui keseluruhan perkara kerana tindakan sedemikian boleh membawa kepada fitnah.
Menurut Sinar Harian, kes berkenaan melibatkan urusan antara syarikat dan perkara itu kini perlu diselesaikan oleh pihak berkuasa berkaitan.
“Syarikat dengan syarikat, dia punya hal. Mereka selesai di pihak berkuasa, saya pun tak tahu,” katanya.
Sanusi turut berkata beliau tidak mengetahui identiti individu yang ditahan mahupun pihak yang dikatakan mengalami kehilangan wang dalam kes berkenaan.
“Saya nak jawab pihak orang tak boleh. Orang itu pun saya tak kenal siapa yang kena tangkap. Saya tak tahu, siapa yang duit hilang pun saya tak tahu. Jadi macam mana mereka tuduh Sanusi pula,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Hakmilik dan Kunci Rumah Desa Sejahtera Perik, Mukim Kurong Hitam, di sini pada Khamis.








