KUALA LUMPUR: UMNO menyambut dengan penuh kesyukuran keputusan yang membolehkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman menerusi tahanan rumah, selain mengumumkan penubuhan tabung sumbangan bagi membantu melunaskan denda RM50 juta.
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya merafak sembah menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim serta menzahirkan penghargaan atas kebijaksanaan dan budi bicara Seri Paduka Baginda.
Menurut beliau, perkembangan itu amat bermakna bukan sahaja kepada Najib dan keluarganya, malah seluruh keluarga UMNO yang selama ini menaruh harapan serta mendoakan bekas Presiden UMNO itu.
“Pendirian UMNO sejak awal adalah untuk membawa permohonan ini dengan penuh tertib dan rendah hati, melalui saluran yang ditetapkan. Penghormatan kepada institusi Raja, keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang akan terus menjadi pegangan kita,” katanya dalam kenyataan media.
Ahmad Zahid turut menyeru seluruh ahli UMNO supaya menyambut perkembangan berkenaan dengan rasa syukur, menjaga adab dalam setiap ungkapan serta menghormati proses yang telah ditetapkan.
Dalam masa sama, beliau mengumumkan UMNO akan melancarkan Tabung Sumbangan bagi membantu meringankan beban Najib dalam melunaskan denda berjumlah RM50 juta.








