KUALA LUMPUR: Tabung Solidariti Najib Razak yang dilancarkan UMNO bagi membantu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, melunaskan denda RM50 juta kini mencecah RM1 juta.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan jumlah berkenaan dicapai setakat jam 9.30 pagi ini menerusi hantaran di Facebook.
Dalam hantaran itu, Asyraf Wajdi turut menggalakkan orang ramai meneruskan sumbangan kepada tabung berkenaan, termasuk dalam jumlah serendah RM10.
“Alhamdulillah! Pagi ini pukul 9.30 pagi, Tabung Solidariti Najib Razak sudah mencecah RM1 juta.
“Teruskan menyumbang walau hanya RM10,” katanya.
Sebelum ini, tabung berkenaan dilaporkan mengumpulkan RM634,562.02 dalam tempoh tiga jam selepas dilancarkan pada Jumaat.








