BATU PAHAT: MCA menjangkakan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) berkemungkinan diadakan dalam tempoh empat hingga lima bulan akan datang berdasarkan rekod pilihan raya sebelum ini yang lazimnya menyaksikan Parlimen dibubarkan sebelum genap tempoh lima tahun.
Menurut Berita Harian, Presidennya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, berdasarkan pengalamannya melihat 15 pilihan raya umum lalu, tempoh pentadbiran bagi setiap penggal kebiasaannya tidak sampai lima tahun penuh.
“Kita lihat 15 kali pilihan raya sebelum ini, berapa tempoh pentadbiran untuk setiap penggal? Saya rasa empat tahun lebih atau kurang atau ada tiga tahun lapan hingga 11 bulan.
“Kalau nak disegerakan, saya rasa memang lazimnya akan berlaku, tak sampai lima tahun,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Tahunan MCA Johor di Yong Peng, dekat sini.
Wee berkata, MCA sudah membuat persediaan menghadapi PRU16 dengan memperkukuh jentera parti di seluruh negara. Konvensyen MCA Johor turut berlangsung di Yong Peng minggu ini.
Menurutnya, faktor kalendar perayaan pada awal tahun depan juga perlu diambil kira sekiranya pilihan raya mahu diadakan dalam tempoh berkenaan.
“Tahun Baru Cina pada Februari tahun depan, manakala Ramadan bermula hari kedua Tahun Baru Cina dan bulan tiga sudah Aidilfitri.
“Kita kena tengok semua perayaan ini dan tidak ada satu tarikh (yang sesuai) jadi, kita rasa bila-bila masa boleh diadakan kecuali kalau kerajaan mahu anjak sehingga habis penggal,” katanya.
Bagaimanapun, Wee menegaskan MCA bersedia menghadapi pilihan raya pada bila-bila masa sekiranya PRU16 dipercepatkan.
“Kalau nak PRU lagi cepat tak ada masalah. Kita sentiasa bersiap sedia. Bukan buat persediaan esok nak lawan baru hari ini kita siap sedia,” katanya.








