SEREMBAN: Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan sekali lagi menegaskan bahawa Tuanku Muhriz Tuanku Munawir kekal sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan. Pendirian DKU bahawa proklamasi berkaitan kedudukan baginda tidak sah turut dilaporkan sebelum ini.
Menurut Sinar Harian, Setiausaha DKU, Raja Norazli Raja Nordin berkata, tiada kekosongan jawatan berkenaan dan tiada pengganti selagi Tuanku Muhriz masih memegang jawatan itu secara sah.
Beliau turut berkata, DKU turut mengalu-alukan kenyataan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim pada 15 September lalu yang menegaskan bahawa beliau selaku Menteri Besar tidak mempunyai kuasa secara unilateral untuk menamatkan atau mengosongkan jawatan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
“Kenyataan Menteri Besar bertarikh 15 September lalu adalah selaras dengan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Raja Norazli berkata, justeru kesahan serta kesan proklamasi yang menjadi pertikaian itu perlu ditentukan melalui proses perlembagaan dan undang-undang yang sah.
“Justeru kesahan serta kesan proklamasi tersebut hendaklah ditentukan menerusi proses perlembagaan dan undang-undang yang sah, termasuk melalui penentuan kehakiman,” katanya.
DKU sebelum ini turut menegaskan pendiriannya bahawa proklamasi berkenaan tidak sah dan Tuanku Muhriz kekal sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.








