KUALA LUMPUR: Pemulihan dan kebangkitan UMNO tidak seharusnya bergantung kepada gabungan atau parti politik lain, sebaliknya perlu berdikari dengan membangunkan kekuatan serta strategi sendiri.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, perkara itu antara faktor yang menyebabkan pendirian UMNO sejak kekalahan pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018 disifatkan sebagai satu enigma atau misteri politik.
Menurut Berita Harian, ia termasuk pendekatan parti berkenaan untuk bekerjasama dengan parti yang sebelum ini menjadi seterunya.
Beliau berkata, UMNO menerima pelbagai tohmahan susulan keputusan berkenaan, namun pendekatan itu tetap diteruskan kerana mempunyai peranan dalam kerajaan dilihat lebih strategik berbanding hanya menjadi pembangkang.
“UMNO sangat menyedari kita tidak boleh bergantung kepada sesiapa. Tidak PH (Pakatan Harapan) atau PN (Perikatan Nasional), tidak PAS, apatah lagi DAP.
“Jika kita bergantung kekuatan kepada orang lain, matlamat jangka pendek mungkin tercapai tetapi kerugian dalam waktu panjang akan lebih memudaratkan UMNO.
“UMNO tidak boleh dibeli dengan kerjasama politik bermusim tetapi perlu mengembalikan kekuatan kita sendiri supaya akhirnya tidak perlu bergantung dengan orang lain demi kelangsungan,” katanya ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini malam ini.








