KUALA LUMPUR: UMNO tidak menjemput kepemimpinan Pakatan Harapan (PH) menghadiri Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 yang dijadual berlangsung dari 9 hingga 12 September ini.
Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, PAS sebaliknya diundang ke perhimpunan berkenaan sebagai membalas jemputan yang diterima UMNO untuk menghadiri Muktamar PAS Ke-72 di Kota Bharu, Kelantan, hujung minggu lalu.
“Ada ubi, ada bataslah. Jika mereka (PAS) jemput kita, kita jemput merekalah,” katanya seperti dilaporkan Utusan Malaysia.
Pendirian itu sekali gus menyaksikan kepemimpinan PH tidak termasuk dalam senarai jemputan ke PAU kali ini.
Untuk rekod, Barisan Nasional (BN) juga tidak dijemput menghadiri Konvensyen Pakatan Harapan 2026 yang berlangsung di Johor pada Mei lalu.
BN turut tidak menerima jemputan ke Kongres PKR yang diadakan di Melaka pada Ogos lalu.








