MELAKA: Hubungan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) di Melaka disifatkan sebagai “cinta tidak kesampaian” ketika ini, namun kemungkinan sama ada kedua-duanya akan terus bekerjasama atau kembali bertembung pada pilihan raya akan datang masih belum dapat dipastikan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata, beliau sentiasa akur dengan keputusan parti, termasuk ketika UMNO dan DAP perlu bekerjasama selepas pembentukan Kerajaan Perpaduan.
“Saya mengikut keputusan parti. Apabila parti telah memilih untuk kita bekerjasama membentuk kerajaan, kita akurlah. Kalau kata hendak berlawan, kita berlawanlah,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Mohd Noor Helmy mengakui hubungan antara kedua-dua parti bukan sesuatu yang mudah memandangkan mereka pernah menjadi seteru politik, termasuk dirinya yang sebelum ini sering berdepan dengan DAP.
Menurutnya, apabila Kerajaan Perpaduan dibentuk dan Melaka memilih untuk bergerak seiring dengan Kerajaan Persekutuan, semua pihak perlu mengetepikan ego serta memberi keutamaan kepada kepentingan rakyat.
“Masing-masing kena turun ego, kita sama-sama. Kita ada berbeza pendapat, pandangan tetapi apa yang kita sama? Kita kena utamakan rakyat. Jadi, kita beri khidmat bakti kepada rakyat dulu,” katanya.
“Tapi hari ini cinta itu (hubungan BN-PH) tidak kesampaian. Tapi tidak tahulah kemudian apa akan berlaku. Jadi, sampai masa kalau berlawan, lawanlah. Kita ‘gentleman’,” katanya.








