KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim digesa supaya tidak tunduk kepada tekanan untuk membubarkan Parlimen lebih awal bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, pendirian itu selaras dengan pendirian parti yang mahu Anwar terus menerajui Kerajaan MADANI selagi Ahli Parlimen Tambun itu masih mempunyai majoriti di Dewan Rakyat.
Menurut Berita Harian, Anwar perlu menggunakan tempoh berbaki hampir 15 bulan bagi melaksanakan pelbagai agenda dan reformasi bersama sebelum tempoh Parlimen Penggal ke-15 berakhir pada Disember 2027.
“
Selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan, kita dengar banyak berita dan suara daripada pelbagai parti dan pihak beri tekanan kepada Perdana Menteri untuk membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU16.
“Pendirian kita, selagi Anwar mempunyai majoriti di Dewan Rakyat, tidak ada keperluan untuk tunduk kepada mana-mana tekanan bagi mengadakan PRU16,” katanya ketika merasmikan Kongres Wanita DAP di Putrajaya, hari ini.
Anthony turut menegaskan sokongan DAP supaya Anwar, selaku Pengerusi Pakatan Harapan (PH), terus menerajui Kerajaan MADANI sehingga tamat tempoh Parlimen Penggal ke-15.








