SHAH ALAM: UMNO dan Barisan Nasional (BN) berpandangan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) lebih baik diadakan lebih awal sebelum penggal Parlimen semasa berakhir pada hujung tahun depan.
Menurut Buletin TV3, Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah itu akan membolehkan mandat untuk mentadbir Kerajaan Persekutuan diperoleh semula daripada rakyat.
“Pada hemat saya, kalau pilihan raya umum diadakan lebih awal, itu lebih baik. Jadi, mandat rakyat dapat kita peroleh.
“Tetapi andainya jika penggal ini sehingga penghujung tempoh atau jeda waktunya, maka kita juga bersedia menghadapinya,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama wartawan Media Prima Berhad (MPB) di sini.
Bagaimanapun, Ahmad Zahid berkata, UMNO dan BN tetap perlu menggunakan baki tempoh yang ada untuk membuat persiapan menghadapi pilihan raya.
Menurutnya, parti itu juga perlu terus menyantuni permasalahan rakyat bagi memastikan UMNO dan BN kekal relevan dengan perkembangan geopolitik semasa.
Beliau menegaskan, sama ada PRU16 diadakan lebih awal atau pada penghujung penggal, UMNO dan BN perlu berada dalam keadaan bersedia untuk menghadapinya.








