KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM1.097 juta berkaitan kelulusan kuota pekerja asing, empat tahun lalu.
Menurut Malaysia Gazette, Timbalan Presiden MIC itu memohon untuk dibicarakan selepas ketiga-tiga pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.
“Saya faham pertuduhan dan tidak mengaku Puan,” katanya dengan tenang ketika berdiri di dalam kandang tertuduh.
Ahli Parlimen Tapah berusia 58 tahun itu berdepan pertuduhan menerima suapan wang tunai masing-masing berjumlah RM150,000, RM350,000 dan RM597,000 daripada Pengarah Syarikat Vectica Resources Sdn Bhd, Tan Teck Lim, 65, melalui Syed Amirul Syed Ahmad, 38.
Bagi suapan RM597,000, wang berkenaan diterima melalui sekeping cek yang didepositkan ke dalam akaun bank milik Big Seven Ventures Sdn Bhd.
Kesemua suapan itu didakwa diterima sebagai dorongan dan upah kepada Saravanan, ketika beliau memegang jawatan sebagai pegawai badan awam iaitu Menteri Sumber Manusia, untuk memberikan kelulusan permohonan 1,000 kuota pekerja asing kepada syarikat TYKB Engineering Sdn Bhd.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di tiga lokasi berasingan iaitu sebuah pusat peranginan golf di sini, Jalan Telawi 3, Bangsar dan sebuah bank cawangan Jalan Klang Lama, Taman Desa.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan pada 16 Jun dan 7 Julai 2022.
Prosiding hari ini turut menyaksikan kehadiran para penyokong Saravanan yang berkumpul di mahkamah sejak awal pagi.








