KUCHING: Pelajar Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) yang gagal dalam subjek Bahasa Melayu masih layak melanjutkan pengajian di empat universiti dalam sistem pendidikan tinggi Sarawak, termasuk menikmati manfaat Skim Pendidikan Tinggi Percuma (FTES) yang ditawarkan kerajaan negeri.
Menurut Malaysia Kini,Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dr Annuar Rapaee berkata, kelulusan Bahasa Melayu bukan syarat wajib bagi kemasukan ke institusi pengajian tinggi berkenaan, mahupun untuk mendapatkan pembiayaan pendidikan menerusi skim tersebut.
Beliau berkata dasar itu turut terpakai kepada pelajar UEC yang ingin mengikuti mana-mana daripada 64 kursus yang ditawarkan di bawah FTES, selagi memenuhi syarat kemasukan ditetapkan.
“Persoalan ini sangat penting kerana ia membezakan dasar yang kita laksanakan di Sarawak, sama ada Bahasa Melayu menjadi prasyarat penting untuk memasuki empat universiti kita atau turut menjadi kriteria penting bagi pelajar UEC untuk layak menerima pendidikan tinggi percuma.
“Yang Berhormat, jawapannya tidak. Bahasa Melayu tidak diperlukan untuk mereka layak memasuki universiti kita atau menerima pendidikan tinggi percuma,” katanya ketika sesi soal jawab lisan, semalam.
Bagaimanapun, Annuar menjelaskan pelajar UEC tetap perlu memenuhi syarat akademik yang sama seperti pemohon lain, termasuk memperoleh sekurang-kurangnya lima gred B dalam peperiksaan UEC peringkat menengah atas.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka itu berkata, pelajar yang memenuhi kelayakan berkenaan dan mendaftar dalam salah satu daripada 64 kursus yang diliputi FTES secara automatik layak menikmati manfaat pendidikan tinggi percuma.
Empat institusi pengajian tinggi yang terlibat ialah Universiti Teknologi Sarawak (UTS) di Sibu, Curtin University Malaysia di Miri, Swinburne University of Technology Kampus Sarawak serta i-CATS University College yang masing-masing terletak di Kuching.







